TITIAN DENAI

25 Jun 2010

BAHASA TAMPAK (ASAS-ASAS SENIREKA)

- Unsur-unsur seni reka terdiri daripada enam elemen asas yang penting dalam penggubahan sesuatu karya seni visual iaitu:
• Garisan
• Rupa
• Bentuk
• Jalinan
• Ruang
• Warna

- Garisan ialah cantuman dari satu titik ke titik yang lain dengan mempunyai jarak-jarak tertentu. Aplikasi berbagai jenis garisan dapat mencipta rupa, jalinan, ton, corak serta menimbulkan gambaran bentuk, ruang dan gerakan dalam seni visual.

- Rupa
Rupa mesti mempunyai garisan luar (outline) dan sempadan yang mengelilinginya. Ianya dapat dikategorikan kepada rupa geometri dan organik. Rupa geometri lebih kepada rupa yang mempunyai sudut dan penjuru. Rupa organik pula yang mempunyai rupa bebas dan tidak terikat pada bentuk yang khusus. Rupa ialah sesuatu kawasan yang berbeza dari ruang di sekeliling dan bersifat 2-D (tidak berjisim). Merupakan hasil pertemuan antara penghujung garisan dan permulaannya.
Bentuk mempunyai struktur jisim dan isipadu. Terdapat 2 jenis bentuk iaitu bentuk konkrit dan bentuk ilusi. Bentuk dapat dihasilkan melalui lukisan, catan, arca, komputer dan kraf tradisi. Bentuk konkrit ialah bentuk sebenar yang bersifat 3 dimensi. Bentuk ilusi ialah bentuk yang dilihat melalui gambar atau ilustrasi. Ianya bersifat rata dan boleh dihasilkan melalui lakaran, catan dan
lukisan berkomputer 3 dimensi.

Jalinan merujuk kepada kesan yang terdapat pada permukaan sesuatu objek. Ia dapat menunjukkan kesan rasa dan ekspresi sesuatu objek kepada kita. Jalinan terbahagi kepada dua iaitu; jalinan sentuh dan jalinan tampak. Jalinan sentuh ialah jalinan yang dapat dirasai melalui sentuhan, contohnya kulit buah durian (alam semula jadi) dan jahitan sulaman (alam buatan manusia). Jalinan tampak pula jenis jalinan yang hanya dapat dilihat tetapi tidak dapat dirasa melalui sentuhan.
Ruang merupakan kawasan yang dikelilingi oleh garisan, atau kawasan kosong di sekeliling objek, atau jarak antara dua objek.

warna ialah pigmen pewarna kimia yang bertindak balas pada sesuatu permukaan. warna terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu warna asas, warna sekunder dan warna tertier. Warna asas terdiri daripada warna biru, merah dan kuning; dan ianya boleh menghasilkan warna sekunder dan warna tertier. Warna sekunder pula terdiri daripada warna hijau, jingga dan ungu; dan dapat dihasilkan daripada campuran dua warna asas. Sementara itu, warna tertier terhasil daripada percampuran warna asas dan sekunder.

PRINSIP-PRINSIP REKAAN

-Harmoni wujud di alam sekeliling apabila munculnya susunan atau ulangan unsur-unsur seni mengikut cara atau gaya yang tertentuTujuan menghasilkan kesan harmoni adalah untuk menarik perhatian pada sesuatu gubahan, objek atau imej.

- Kontra wujud apabila salah satu daripada unsur-unsur seni mempunyai ciri-ciri yang bertentangan di antara satu sama. Ianya bertujuan untuk menimbulkan kesan yang menarik pada sesebuah karya seni. Kontra berkait rapat dengan penegasan (semakin tinggi kadar kontra semakin jelas penegasan).

- penegasan ialah sesuatu yang boleh menarik perhatian dan tumpuan kepada pemerhatian tampak. Ianya berfungsi sebagai daya penarik, pemusatan karya, mengelak kebosanan dan menjadikan gubahan lebih dramatik.

Imbangan ialah keadaan gubahan yang sama sempadan, sama berat dan graviti, sama kecerahan warna, sama padan dan sama gaya penampilan.
Terdapat tiga jenis imbangan iaitu imbangan simetri, imbangan tidak simetri dan imbangan semua arah.
Pergerakan wujud apabila terdapatnya keadaan yang bergetar, bergoyang, bergegar, berayun, bersinar-sinar dan sebagainya.

Pergerakan bertujuan untuk memberi ‘nyawa’, rupa dan bentuk visual dalam seni tampak dua dimensi.
Kepelbagaian merupakan keadaan penggabungan pelbagai gaya, nilai dan idea yang berbeza. Susunan atau ulangan unsur-unsur seni yang bertentangan arah dan berbeza saiznya akan mewujudkan kepelbagaian.

Kesatuan merupakan olahan motif atau ulangan unsur-unsur seni secara sistematik, berpandukan grid berdasarkan tema atau idea sesuatu hasil karya. Susun atur yang kemas, teratur, lengkap dan sempurna dapat mewujudkan kesatuan.

ORGANISASI REKAAN
Komunikasi visual merujuk kepada pembelajaran yang membolehkan pelajar berkomunikasi secara visual melalui hasil kerja seni. Komunikasi visual terdiri daripada dua tumpuan utama iaitu; reka bentuk grafik dan multimedia. Reka bentuk grafik meliputi pengenalan reka bentuk grafik, poster, simbol, logo dan maskot, kaligrafi, tipografi, pembungkusan, grafik persekitaran, ilustrasi, dan komputer grafik.
Poster merupakan reka bentuk komunikasi yang berfungsi menyampaikan mesej dan intipati daripada gubahan idea. Ianya juga merupakan elemen dalam promosi, kempen dan sebagainya.

Simbol
Ialah reka bentuk grafik yang diringkas dan dipermudahkan daripada imej sumber alam semula jadi dan alam buatan manusia.
Simbol terdiri daripada flora dan fauna serta benda-benda yang terdapat di sekeliling manusia. Ianya lebih ringkas dan mudah daripada tanda yang menggunakan teks.

Logo
Logo ialah visual grafik yang menjadi identiti kepada firma perniagaan, kelab, persatuan, organisasi dan bandan-badan tertentu.

Maskot
Maskot pula digunakan untuk menarik minat pada sesuatu sambil menampilkan ciri-ciri kemesraan.

Tipografi (Muka Taip)
Tipografi merupakan seni menyusun atur atau merekaletak sesebuah muka surat dengan menggunakan huruf untuk mendapatkan hasil yang menarik. Terdapat 3 kumpulan muka taip yang diaplikasikan dalam rekaan grafik iaitu muka taip serif, san serif dan hiasan.

Pembungkusan boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu pembungkusan jenis lembut dan pembungkusan jenis keras.
Pembungkusan seni lembut terdiri daripada beg plastik, kertas, plastik pembalut dan kertas pembalut. Manakala pembungkusan jenis keras terdiri daripada kotak, tin, botol dan sebagainya.

Grafik Persekitaran ialah reka bentuk grafik yang ada pada alam sekeliling. Ianya berkonsepkan pengiklanan untuk menyampaikan maklumat di samping mempromosi kepada pembaca dan pengguna.

Ilustrasi
Ilustrasi merupakan seni yang menggambarkan idea dan kata-kata dalam bentuk gambar. Pada zaman dahulu, ilustrasi digunakan untuk merakamkan legenda dan peristiwa bersejarah. Kini ianya lebih bersifat komersial dan berkembang pesat seiring dengan penemuan teknik percetakan.

Komputer Grafik
Komponen grafik dalam perisian menggunakan komputer grafik ialah teks, warna, bentuk, ilustrasi dan garisan yang boleh membantu pelajar. Penggunaan komputer grafik membantu pelajar meningkatkan mutu hasil kerja kerana komponen grafik telah tersedia dalam pelbagai perisian.

Multimedia
Multimedia ialah penggunaan komputer untuk sesuatu persembahan dengan menggunakan sokongan teks, grafik, audio dan video. Ianya menggunakan rangkaian hubungan dan alat untuk membolehkan pengguna melayari, berinteraksi, mencipta dan berkomunikasi.

KRAF TRADISIONAL DAN DIMENSI BARU
Tembikar/Seramik
merupakan hasil kraf tradisional yang paling awal dapat dikesan oleh tamadun manusia. Ia menggunakan tanah liat yang didapati di kawasan persekitaran atau tepian sungai, sawah dan sebagainya. objek ini berfungsi sebagai bekas kegunaan harian, hiasan dan dalam kematian.


Anyaman
adalah warisan yang terkenal di kawasan luar bandar terutamanya di negerinegeri Terengganu, Perak, Melaka dan Kedah. Anyaman bukanlah produk tetapi lebih merupakan kemahiran dalam penghasilan produk. Biasanya produk yang dianyam diperbuat daripada daun mengkuang atau pandan, dan dijadikan sebagai perkakas atau objek harian seperti tikar, tudung saji dan sebagainya.

Ukiran
Merupakan sejenis seni warisan yang menerapkan unsur-unsur alam sekitar yang menjadi identiti ukiran mereka. Antara motifnya ialah awan larat yang mempunyai unsur-unsur flora dan fauna, kosmo, geometri dan lain-lain.

Tekat
Tekat lebih dikenali sebagai tekat bersuji atau sulaman timbul. Ia merupakan seni sulaman benang pada kain dasar dan dibentuk dengan menggunakan kertas yang diliputi benang emas.

Batik
Produk batik mempamerkan kreativiti dan kehalusan seni tekstil yang tinggi. Tidak hairanlah ia menjadi salah satu produk pelancongan yang terlaris. Di antara jenis-jenis batik termasuklah batik tulis/lukis, terap/blok, pelangi, skrin dan sebagainya. Motif yang digunakan adalah seperti flora dan fauna, geometri dan sebagainya.

Tenunan
Tenunan adalah proses menjalinkan sehelai benang sehingga menjadi sebidang kain. Tenunan merupakan hasilan jalinan benang losen (benang dasar) dengan benang pakan (benang sisip).

REKA BENTUK DALAMAN DAN LANSKAP
Salah satu cara peningkatan kehidupan dalam kediaman atau ruang awam supaya dapat meningkatkan status ruang tersebut agar selesa, selamat dan sesuai dengan cita rasa pemiliknya. Reka bentuk ruang dalaman terhasil daripada kombinasi beberapa elemen asas seni bina seperti tiang, dinding, lantai, siling dan atap.
Kategori reka bentuk hiasan dalaman terbahagi kepada dua iaitu reka bentuk ruang kediaman dan reka bentuk ruang awam dan komersil.

REKABENTUK PERSEKITARAN

Lanskap
Lanskap merupakan pemandangan yang boleh dilihat secara semula jadi ataupun buatan manusia. Ianya boleh dibahagikan kepada beberapa kategori yang merangkumi lanskap, kediaman, komersial, institusi, pinggir jalan dan kemudahan awam.

Jenis-jenis Lanskap
Lanskap lembut merangkumi penggunaan tumbuh-tumbuhan yang
meliputi pelbagai jenis pokok, tumbuhan renek dan tumbuhan tutup
bumi. Satu lagi jenis lanskap ialah lanskap keras atau kejur.

Peranan dan Fungsi Lanskap
Secara umumnya, lanskap mempunyai beberapa fungsi dan peranan utama.

(a) Fungsi Fizikal Tumbuhan Lanskap
• mengawal hakisan tanah
• memberi perlindungan dan teduhan
• meredakan iklim
• mengawal pencemaran alam
• menjadi tirai dan dinding
• mengarah pergerakan atau petunjuk arah
• imbangan ekologi dan kehidupan fauna

(b) Fungsi Estetik Tumbuhan Lanskap
• membentuk ruang
• merangka pemandangan
• melembutkan
• mengikat bangunan dan struktur dengan permukaan bumi
• menjadi penyatu pelbagai elemen

(c) Fungsi Ekonomi Tumbuhan Lanskap
Selain daripada yang dinyatakan di atas, tumbuhan lanskap mampu menyediakan pemandangan yang baik dan indah serta memberikan faedah kepada masyarakat dan negara dari segi rekreasi, kesihatan, pendidikan dan pelancongan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger... http://aidaliepurnamamerindu-aidalie.blogspot.com/2011/01/lukisan-teknik-titik-pointillism.html