Pengenalan
Seni ukiran kayu adalah seni kraftangan yang telah lama wujud di
kalangan masyarakat Malaysia terutama bagi masyarakat Melayu, masyarakat
etnik Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asli. Seni ukiran yang
dipersembahkan melalui bahan kayu ini sama seperti seni ukiran yang lain
cuma berbeza dari segi cara dan teknik pengukirannya. Seni ini begitu
berkembang luas kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai
hasil kayu-kayan yang banyak di mana terdapat kira-kira 3000 spesis
kayu-kayan di negara kita. Di samping itu juga, kayu adalah bahan alam
yang sangat sesuai untuk diukir dan boleh dipelbagaikan kegunaannya.
Dalam bidang ini, fokus akan ditumpukan kepada seni ukiran masyarakat
Melayu, masyarakat etnik Sarawak dan masyarakat Orang Asli.
Sejarah Ukiran Kayu Melayu Tradisional
Ukiran merupakan hasil seni rupa tradisi Melayu yang terulung. Sejarah
seni ukir di Tanah Melayu banyak terdapat dalam catatan-catatan sejarah
iaitu dalam Sejarah Melayu di mana dikatakan seni ukiran Melayu tradisi
telah ada sejak lebih 500 tahun dahulu. Pada ketika itu, orang-orang
Melayu sudah memberi perhatian yang istimewa terhadap seni ukiran pada
bangunan seperti istana dan rumah kediaman. Raja-raja Melayu pada zaman
dahulu memainkan peranan penting dalam memperkembang dan menghidupkan
suasana seni ukiran. Hingga kini peninggalan istana-istana lama
memperlihatkan betapa indah dan uniknya ukiran-ukiran yang diterapkan
pada istana-istana tersebut. Di Semenanjung Malaysia, kekayaan seni
ukiran kayu orang Melayu paling ketara pada binaan rumah tradisional
terutama di Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan.
Teknik dan Gaya
Ukiran kayu dapat dilaksanakan dengan berbagai-bagai teknik dan
penggunaan satu-satu teknik itu banyak bergantung pada kebolehan dan
kemahiran pandai kayu. Dua teknik utama dan gaya di dalam seni ukiran
Melayu ialah 1) tebuk terus 2) tebuk timbul.
Susunan atau pola ukiran juga ada tiga jenis utama iaitu 1) pola bujang 2)pola lengkap 3) pola pemidang.
* Pola Bujang
Bentuk ini berdiri terasing, bebas, dan tidak terikat, berkait atau
bersambung-sambung. Biasanya bentuk ini menampilkan motif bulan,
bintang, matahari, kuntuk bunga ataupun putik buah.
* Pola Pemidang
Bentuk ini menampilkan motif yang menggambarkan pergerakan sederhana dan
tidak berbelit-berbelit. Bentuk ini mempunyai bingkai atau pemidang.
Ukiran-ukiran yang dibuat dalam bentuk ini diberi nama-nama yang menarik
seperti itik pulang petang, badak mudik, setampuk manggis dan
lain-lain. Biasanya Bentuk pemidang digunakan untuk jala-jala rumah
serta benda-benda yang terdapat di dalam rumah seperti tepak sirih,
almari dan dulang kayu.
* Pola Lengkap
Bentuk ini menggabungkan ciri-ciri bentuk bujang dan bentuk pemidang.
Bentuk ini menitikberatkan unsur tumbuh-tumbuhan, merangkumi akar,
batang, buah, dahan, daun, putik dan sulurnya.
Alat dan Motif
Alat-alat yang digunakan untuk seni ukiran adalah seperti gergaji,
ketam, tukul besi dan paling penting pahat. Motif ukiran kayu orang
Melayu terbahagi kepada beberapa jenis ;
* Motif flora, sulur dan daun, tampuk manggis, bunga teratai, daun keladi dan bunga sukun.
* Motif fauna, contohnya ayam, badak dan itik (ayam berlaga, badak mudik dan itik pulang petang)
* Motif angkasa atau kosmos yang menerapkan gambaran awan larat seperti bintang, matahari, bulan dan bukit bukau
* Motif Geometri menampilkan bentuk bulatan dan bentuk segitiga
yang disusun berderet. Kadangkala bentuk segitiga ini dicantum dengan
sulur-sulur tumbuhan. Biasanya, motif-motif ini terdapat pada alat-alat
tembikar, sarung keris, tepak sirih dan barang-barang tembaga.
* Motif seni khat atau kaligrafi, menggunakan huruf Arab,
terutamanya petikan Quran dan tulisan Jawi. Motif ini banyak terdapat di
ambang pintu rumah, masjid dan surau serta pada alat-alat keagamaan
seperti rehal.
Penggunaan
Seni ukiran kayu di kalangan masyarakat Melayu bukan sahaja terdapat
pada rumah-rumah tetapi penjelmaan dan penerapannya terdapat pada
istana-istana raja, binaan masjid dan mimbarnya, surau, wakaf, pintu
gerbang, alat-alat permainan masa lapang, alat-alat muzik tradisi,
perabot seperti almari, katil, kerusi, meja, dan kepala perahu yang
disebut bangau, alat-alat senjata, peralatan memasak, peralatan
pertukangan dan pengangkutan tradisi seperti perahu, kereta kuda dan
kereta lembu.