TITIAN DENAI

25 Jun 2010

BAHASA TAMPAK (ASAS-ASAS SENIREKA)

- Unsur-unsur seni reka terdiri daripada enam elemen asas yang penting dalam penggubahan sesuatu karya seni visual iaitu:
• Garisan
• Rupa
• Bentuk
• Jalinan
• Ruang
• Warna

- Garisan ialah cantuman dari satu titik ke titik yang lain dengan mempunyai jarak-jarak tertentu. Aplikasi berbagai jenis garisan dapat mencipta rupa, jalinan, ton, corak serta menimbulkan gambaran bentuk, ruang dan gerakan dalam seni visual.

- Rupa
Rupa mesti mempunyai garisan luar (outline) dan sempadan yang mengelilinginya. Ianya dapat dikategorikan kepada rupa geometri dan organik. Rupa geometri lebih kepada rupa yang mempunyai sudut dan penjuru. Rupa organik pula yang mempunyai rupa bebas dan tidak terikat pada bentuk yang khusus. Rupa ialah sesuatu kawasan yang berbeza dari ruang di sekeliling dan bersifat 2-D (tidak berjisim). Merupakan hasil pertemuan antara penghujung garisan dan permulaannya.
Bentuk mempunyai struktur jisim dan isipadu. Terdapat 2 jenis bentuk iaitu bentuk konkrit dan bentuk ilusi. Bentuk dapat dihasilkan melalui lukisan, catan, arca, komputer dan kraf tradisi. Bentuk konkrit ialah bentuk sebenar yang bersifat 3 dimensi. Bentuk ilusi ialah bentuk yang dilihat melalui gambar atau ilustrasi. Ianya bersifat rata dan boleh dihasilkan melalui lakaran, catan dan
lukisan berkomputer 3 dimensi.

Jalinan merujuk kepada kesan yang terdapat pada permukaan sesuatu objek. Ia dapat menunjukkan kesan rasa dan ekspresi sesuatu objek kepada kita. Jalinan terbahagi kepada dua iaitu; jalinan sentuh dan jalinan tampak. Jalinan sentuh ialah jalinan yang dapat dirasai melalui sentuhan, contohnya kulit buah durian (alam semula jadi) dan jahitan sulaman (alam buatan manusia). Jalinan tampak pula jenis jalinan yang hanya dapat dilihat tetapi tidak dapat dirasa melalui sentuhan.
Ruang merupakan kawasan yang dikelilingi oleh garisan, atau kawasan kosong di sekeliling objek, atau jarak antara dua objek.

warna ialah pigmen pewarna kimia yang bertindak balas pada sesuatu permukaan. warna terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu warna asas, warna sekunder dan warna tertier. Warna asas terdiri daripada warna biru, merah dan kuning; dan ianya boleh menghasilkan warna sekunder dan warna tertier. Warna sekunder pula terdiri daripada warna hijau, jingga dan ungu; dan dapat dihasilkan daripada campuran dua warna asas. Sementara itu, warna tertier terhasil daripada percampuran warna asas dan sekunder.

PRINSIP-PRINSIP REKAAN

-Harmoni wujud di alam sekeliling apabila munculnya susunan atau ulangan unsur-unsur seni mengikut cara atau gaya yang tertentuTujuan menghasilkan kesan harmoni adalah untuk menarik perhatian pada sesuatu gubahan, objek atau imej.

- Kontra wujud apabila salah satu daripada unsur-unsur seni mempunyai ciri-ciri yang bertentangan di antara satu sama. Ianya bertujuan untuk menimbulkan kesan yang menarik pada sesebuah karya seni. Kontra berkait rapat dengan penegasan (semakin tinggi kadar kontra semakin jelas penegasan).

- penegasan ialah sesuatu yang boleh menarik perhatian dan tumpuan kepada pemerhatian tampak. Ianya berfungsi sebagai daya penarik, pemusatan karya, mengelak kebosanan dan menjadikan gubahan lebih dramatik.

Imbangan ialah keadaan gubahan yang sama sempadan, sama berat dan graviti, sama kecerahan warna, sama padan dan sama gaya penampilan.
Terdapat tiga jenis imbangan iaitu imbangan simetri, imbangan tidak simetri dan imbangan semua arah.
Pergerakan wujud apabila terdapatnya keadaan yang bergetar, bergoyang, bergegar, berayun, bersinar-sinar dan sebagainya.

Pergerakan bertujuan untuk memberi ‘nyawa’, rupa dan bentuk visual dalam seni tampak dua dimensi.
Kepelbagaian merupakan keadaan penggabungan pelbagai gaya, nilai dan idea yang berbeza. Susunan atau ulangan unsur-unsur seni yang bertentangan arah dan berbeza saiznya akan mewujudkan kepelbagaian.

Kesatuan merupakan olahan motif atau ulangan unsur-unsur seni secara sistematik, berpandukan grid berdasarkan tema atau idea sesuatu hasil karya. Susun atur yang kemas, teratur, lengkap dan sempurna dapat mewujudkan kesatuan.

ORGANISASI REKAAN
Komunikasi visual merujuk kepada pembelajaran yang membolehkan pelajar berkomunikasi secara visual melalui hasil kerja seni. Komunikasi visual terdiri daripada dua tumpuan utama iaitu; reka bentuk grafik dan multimedia. Reka bentuk grafik meliputi pengenalan reka bentuk grafik, poster, simbol, logo dan maskot, kaligrafi, tipografi, pembungkusan, grafik persekitaran, ilustrasi, dan komputer grafik.
Poster merupakan reka bentuk komunikasi yang berfungsi menyampaikan mesej dan intipati daripada gubahan idea. Ianya juga merupakan elemen dalam promosi, kempen dan sebagainya.

Simbol
Ialah reka bentuk grafik yang diringkas dan dipermudahkan daripada imej sumber alam semula jadi dan alam buatan manusia.
Simbol terdiri daripada flora dan fauna serta benda-benda yang terdapat di sekeliling manusia. Ianya lebih ringkas dan mudah daripada tanda yang menggunakan teks.

Logo
Logo ialah visual grafik yang menjadi identiti kepada firma perniagaan, kelab, persatuan, organisasi dan bandan-badan tertentu.

Maskot
Maskot pula digunakan untuk menarik minat pada sesuatu sambil menampilkan ciri-ciri kemesraan.

Tipografi (Muka Taip)
Tipografi merupakan seni menyusun atur atau merekaletak sesebuah muka surat dengan menggunakan huruf untuk mendapatkan hasil yang menarik. Terdapat 3 kumpulan muka taip yang diaplikasikan dalam rekaan grafik iaitu muka taip serif, san serif dan hiasan.

Pembungkusan boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu pembungkusan jenis lembut dan pembungkusan jenis keras.
Pembungkusan seni lembut terdiri daripada beg plastik, kertas, plastik pembalut dan kertas pembalut. Manakala pembungkusan jenis keras terdiri daripada kotak, tin, botol dan sebagainya.

Grafik Persekitaran ialah reka bentuk grafik yang ada pada alam sekeliling. Ianya berkonsepkan pengiklanan untuk menyampaikan maklumat di samping mempromosi kepada pembaca dan pengguna.

Ilustrasi
Ilustrasi merupakan seni yang menggambarkan idea dan kata-kata dalam bentuk gambar. Pada zaman dahulu, ilustrasi digunakan untuk merakamkan legenda dan peristiwa bersejarah. Kini ianya lebih bersifat komersial dan berkembang pesat seiring dengan penemuan teknik percetakan.

Komputer Grafik
Komponen grafik dalam perisian menggunakan komputer grafik ialah teks, warna, bentuk, ilustrasi dan garisan yang boleh membantu pelajar. Penggunaan komputer grafik membantu pelajar meningkatkan mutu hasil kerja kerana komponen grafik telah tersedia dalam pelbagai perisian.

Multimedia
Multimedia ialah penggunaan komputer untuk sesuatu persembahan dengan menggunakan sokongan teks, grafik, audio dan video. Ianya menggunakan rangkaian hubungan dan alat untuk membolehkan pengguna melayari, berinteraksi, mencipta dan berkomunikasi.

KRAF TRADISIONAL DAN DIMENSI BARU
Tembikar/Seramik
merupakan hasil kraf tradisional yang paling awal dapat dikesan oleh tamadun manusia. Ia menggunakan tanah liat yang didapati di kawasan persekitaran atau tepian sungai, sawah dan sebagainya. objek ini berfungsi sebagai bekas kegunaan harian, hiasan dan dalam kematian.


Anyaman
adalah warisan yang terkenal di kawasan luar bandar terutamanya di negerinegeri Terengganu, Perak, Melaka dan Kedah. Anyaman bukanlah produk tetapi lebih merupakan kemahiran dalam penghasilan produk. Biasanya produk yang dianyam diperbuat daripada daun mengkuang atau pandan, dan dijadikan sebagai perkakas atau objek harian seperti tikar, tudung saji dan sebagainya.

Ukiran
Merupakan sejenis seni warisan yang menerapkan unsur-unsur alam sekitar yang menjadi identiti ukiran mereka. Antara motifnya ialah awan larat yang mempunyai unsur-unsur flora dan fauna, kosmo, geometri dan lain-lain.

Tekat
Tekat lebih dikenali sebagai tekat bersuji atau sulaman timbul. Ia merupakan seni sulaman benang pada kain dasar dan dibentuk dengan menggunakan kertas yang diliputi benang emas.

Batik
Produk batik mempamerkan kreativiti dan kehalusan seni tekstil yang tinggi. Tidak hairanlah ia menjadi salah satu produk pelancongan yang terlaris. Di antara jenis-jenis batik termasuklah batik tulis/lukis, terap/blok, pelangi, skrin dan sebagainya. Motif yang digunakan adalah seperti flora dan fauna, geometri dan sebagainya.

Tenunan
Tenunan adalah proses menjalinkan sehelai benang sehingga menjadi sebidang kain. Tenunan merupakan hasilan jalinan benang losen (benang dasar) dengan benang pakan (benang sisip).

REKA BENTUK DALAMAN DAN LANSKAP
Salah satu cara peningkatan kehidupan dalam kediaman atau ruang awam supaya dapat meningkatkan status ruang tersebut agar selesa, selamat dan sesuai dengan cita rasa pemiliknya. Reka bentuk ruang dalaman terhasil daripada kombinasi beberapa elemen asas seni bina seperti tiang, dinding, lantai, siling dan atap.
Kategori reka bentuk hiasan dalaman terbahagi kepada dua iaitu reka bentuk ruang kediaman dan reka bentuk ruang awam dan komersil.

REKABENTUK PERSEKITARAN

Lanskap
Lanskap merupakan pemandangan yang boleh dilihat secara semula jadi ataupun buatan manusia. Ianya boleh dibahagikan kepada beberapa kategori yang merangkumi lanskap, kediaman, komersial, institusi, pinggir jalan dan kemudahan awam.

Jenis-jenis Lanskap
Lanskap lembut merangkumi penggunaan tumbuh-tumbuhan yang
meliputi pelbagai jenis pokok, tumbuhan renek dan tumbuhan tutup
bumi. Satu lagi jenis lanskap ialah lanskap keras atau kejur.

Peranan dan Fungsi Lanskap
Secara umumnya, lanskap mempunyai beberapa fungsi dan peranan utama.

(a) Fungsi Fizikal Tumbuhan Lanskap
• mengawal hakisan tanah
• memberi perlindungan dan teduhan
• meredakan iklim
• mengawal pencemaran alam
• menjadi tirai dan dinding
• mengarah pergerakan atau petunjuk arah
• imbangan ekologi dan kehidupan fauna

(b) Fungsi Estetik Tumbuhan Lanskap
• membentuk ruang
• merangka pemandangan
• melembutkan
• mengikat bangunan dan struktur dengan permukaan bumi
• menjadi penyatu pelbagai elemen

(c) Fungsi Ekonomi Tumbuhan Lanskap
Selain daripada yang dinyatakan di atas, tumbuhan lanskap mampu menyediakan pemandangan yang baik dan indah serta memberikan faedah kepada masyarakat dan negara dari segi rekreasi, kesihatan, pendidikan dan pelancongan.

TEORI-TEORI DALAM SENI

DEFINISI SENI
Seni boleh dirujuk sebagai suatu proses dan manifestasi kepada ekspresi diri, penilaian yang menentukan elemen-elemen yang wajar diketengahkan di dalam hasil seni, di dalam menyampaikan idea, emosi, perasaan, kepercayaan di dalam bentuk yang difikirkan paling efektif.

CIRI-CIRI PERKEMBANGAN
Pergerakan estetik awal kanak-kanak mempunyai kaitan langsung dengan emosi mereka kerana resepsi deria yang mengeluarkan isyarat tersebut selalunya mempunyai hubungan terus dengan bahagian otak yang merangsang emosi.

PERKEMBANGAN ESTETIK
Luahan estetik kanak-kanak amat berbeza dengan pergerakan badan yang biasa. Di dalam kehidupan seharian, kita berkomunikasi secara verbal ataupun bukan verbal. Komunikasi bukan verbal melibatkan pergerakan tangan, memek muka, pandangan mata dan pergerakan bahagian badan yang lain. Pergerakan estetik pula menjurus kepada isyarat virtual. Isyarat virtual ini merupakan jendela kepada emosi dalaman kanak-kanak dan juga jiwa dan pemikiran mereka.

PERKEMBANGAN ARTISTIK

(a) Faktor sosioekonomi mempunyai pengaruh yang amat terbatas dalam peringkat awal pertumbuhan kanak-kanak. Kanak-kanak lelaki dan perempuan didapati melukis dengan cara yang sama di peringkat awal pertumbuhan.

(b) Lukisan kanak-kanak dapat memberi lebih banyak maklumat tentang perkembangan mereka daripada catan kerana ianya menggunakan krayon, pensil dan pen. Alatan ini lebih mudah dikawal oleh kanak-kanak daripada berus dan warna.

(c) Terdapat pertindihan yang agak ketara di antara peringkatperingkat perkembangan. Lukisan kanak-kanak mungkin mempunyai elemen dua peringkat serentak dan tidak semestinya elemen satu peringkat perkembangan sahaja.

TEORI-TEORI KOGNITIF

Teori Gestalt
Prinsip asas teori ini menitikberatkan keseluruhan daripada sebahagian. Dalam erti kata lain, melihat sesuatu objek secara keseluruhan (contohnya rumah) memberi makna yang lebih mendalam daripada melihat komponenkomponen individu (tiang, lantai, dinding, pintu, tangga). Proses melihat secara keseluruhan melibatkan proses kognitif – minda membuat anjakan daripada memahami setiap komponen dalam menghasilkan makna daripada pandangan yang menyeluruh.
Hukum-hukum Teori Gestalt

(a) Hukum Pragnanz
Hukum Pragnanz menyatakan bahawa apabila individu berhadapan dengan pengalaman yang baru, persepsi individu tersebut adalah tidak teratur.

(b) Hukum Persamaan (Similarity)
Konsep hukum persamaan adalah lebih mudah untuk difahami.
Individu akan lebih cenderung untuk mengklasifikasikan rangsangan yang mempunyai persamaan di dalam kumpulan yang sama.

(c) Hukum Keintiman (Proximity)
Mengikut hukum keintiman, pengklasifikasian setiap rangsangan adalah berdasarkan elemen jarak dan hubungan. Rangsanganrangsangan yang mempunyai hubung kait di antara satu sama lain akan diletakkan di dalam kumpulan yang sama.

(d) Hukum Lengkap (Closure)
Hukum lengkap menganjurkan bahawa individu cenderung untuk meletakkan rangsangan yang telah lengkap di dalam kumpulan yang sama.

(e) Hukum Kesinambungan Positif (Good Continuation)
Hukum ini menyatakan bahawa sifat sesuatu rangsangan tidak akan berubah, dan pada masa yang akan datang sifat yang sama akan dikekalkan. Contohnya, garis yang lurus dilihat sebagai akan tetap lurus pada masa yang akan datang dan tidak akan berubah sifatnya.

(f) Hukum Ciri-ciri Bahagian (Membership Character)
Di dalam hukum ini, individu akan mentafsir sesuatu berdasarkan pandangan mereka secara keseluruhan terhadap sesuatu objek tersebut, dan bukannya melihat setiap bahagian daripada keseluruhan objek tersebut.

- Teori Gestalt juga mempunyai hubungan yang rapat dengan pandangan konstruktivis dan banyak diaplikasikan di dalam kaedah penyelesaian masalah.

- Di dalam konteks pembelajaran seni visual, teori Gestalt bukan sahaja melihat kepada produk atau hasil kerja tetapi memberikan penekanan yang tinggi ke atas proses penghasilan produk itu sendiri.

Teori Sosial-Interaksi Piaget(ahli epistemologi genetik di dalam bidang biologi dan falsafah.)

Piaget merumuskan bahawa kanak-kanak kecil bukanlah tidak mempunyai kapasiti untuk berfikir, cuma kanak-kanak dewasa mempunyai lebih pengalaman yang mengasah minda mereka.
Jawapan kanak-kanak kecil berbeza daripada kanak-kanak dewasa kerana cara berfikir mereka yang berbeza. - prinsip penyelidikan biologinya :

(a) Penyerapan (Assimilation) dan Ubahsuai (Accommodation)
Piaget menjelaskan dua proses yang digunakan oleh individu sepanjang hayat dalam menyesuaikan diri mereka dengan persekitaran, iaitu asimilasi (assimilation) dan akomodasi (accommodation). Kedua-dua proses ini sentiasa berlaku dalam diri individu dan sentiasa menimbulkan ketegangan yang memerlukan penyelesaian. Hasil daripada penyelesaian kepada ketegangan ini akan mempengaruhi perkembangan kognitif.

(b) Refleksi, Skema, Struktur dan Hierarki
Piaget juga mengemukakan hipotesis bahawa setiap bayi dilahirkan dengan skema fungsi yang dikenali sebagai refleksi. Refleksi pada bayi ini berfungsi dalam membantu menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru (daripada dunia janin ke dunia sebenar). Apabila bayi mula biasa dengan persekitaran yang baru, refleksi ini akan digantikan dengan skema tersusun.
Perkembangan Kebolehan Kognitif

(a) Peringkat Deria-Pergerakan (0-2 Tahun)
Kanak-kanak masih belum dapat menguasai simbol ataupun bahasa untuk menamakan objek di sekitarnya. Satu-satunya cara interaksi dengan persekitaran ialah melalui kesan deria dan gerak-gerinya.
Apabila umur bayi meningkat 10 bulan, bayi tersebut mula memahami konsep ‘kekal’ (permanence) iaitu kesedaran bahawa walaupun sesuatu objek hilang daripada pandangannya, objek tersebut tidak ghaib begitu sahaja.

(b) Peringkat Pra-olahan (2 – 6 Tahun)
Di peringkat ini, kanak-kanak telah mula menguasai bahasa dan menggunakan nama untuk panggilan objek di sekelilingnya.
Walaupun begitu, penguasaan ini masih baru dan terbatas dan akan berkembang sepenuhnya sehinggalah kanak-kanak tersebut mencapai peringkat pengolahan formal.

(c) Peringkat Pengolahan Konkrit (7 – 11 Tahun)
Kebolehan kanak-kanak menguasai konsep pengekalan tentang paduan, nombor, berat dan padatan. Kebolehan ini membantu mereka memahami konsep lain yang lebih rumit seperti susunan
angka, pengklasifikasian bahan mengikut sifat, serta kemampuan melihat sesuatu perkara daripada pelbagai perspektif.

d) Peringkat Pengolahan Formal (12 Tahun ke Atas)
Kanak-kanak ini mencapai tahap kemuncak kecerdasan mental di penghujung zaman remaja, namun kekurangan pengalaman mengehadkan pengetahuan dan kebolehan mereka untuk menggunakan apa yang mereka tahu. Di peringkat ini juga, perkembangan fizikal kanak-kanak adalah lebih pantas berbanding perkembangan mental apabila mereka mula melangkah ke awal alam remaja.

Pendekatan Teori Sosial-Interaksi Piaget dalam Pembelajaran

(a) Peringkat Pra-olahan (2-6 Tahun)
Imaginasi kanak-kanak adalah sangat tinggi pada peringkat praolahan, iaitu apabila kanak-kanak mencapai umur dua hingga enam tahun. Adalah penting bagi guru-guru prasekolah ataupun ibu bapa menggalakkan kanak-kanak untuk berimaginasi kerana secara tidak langsung ia juga akan menggalakkan daya cipta kanak-kanak.

(b) Peringkat Pengolahan Konkrit
Di peringkat ini, kanak-kanak mempunyai kepetahan bercakap yang sangat tinggi dan sentiasa ingin bertutur untuk menarik perhatian.
Namun begitu, di dalam kelas yang sama mungkin ada sebilangan kanak-kanak yang sangat petah bertutur dan sangat aktif, manakala sebilangan lagi lebih suka mendiamkan diri.

(c) Peringkat Pengolahan Formal (12 Tahun ke Atas)
Di peringkat ini, pelajar telah mula faham konsep-konsep abstrak dan mula membentuk identiti diri. Mereka mula memahami kepentingan falsafah hidup dan prinsip, politik dan konsep agama. Guru boleh membantu dengan mengadakan perbincangan dalam topiktopik ini agar dapat dijadikan panduan oleh pelajar. Antara bentuk perbincangan ialah membantu dalam menentukan hala tuju pelajar, persediaan yang perlu dilakukan serta menetapkan matlamat.

Pendekatan Konstruktivis

Pendekatan Konstruktivis dalam Pengajaran

Bruner telah menggariskan tiga prinsip utama di dalam konteks pembelajaran menggunakan pendekatan konstruktivis.
1. Pengajaran perlu menitikberatkan pengalaman pelajar serta mengikut konteks kesanggupan pelajar untuk belajar (kesediaan).
2. Pengajaran perlu mengikut struktur atau urutan yang mampu difahami oleh pelajar dengan mudah (organisasi).
3. Pengajaran perlu dirangka untuk memudah cara penghasilan ilmu (melangkaui maklumat yang dibekalkan guru).

Kaedah ini mengaplikasikan empat cara tertentu di dalam penyampaian sesuatu topik.
1. Menekankan perbezaan iaitu melatih pelajar agar bijak membezakan jenis dan sifat maklumat yang diterima.
2. Menstruktur maklumat agar lebih mudah diterima dan difahami
3. Susunan paling berkesan di dalam menyampaikan material pengajaran
4. Sifat dan bentuk ganjaran (reward) atau hukuman (punishment)
yang akan dikenakan sekiranya pelajar berjaya atau gagal melakukan sesuatu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger... http://aidaliepurnamamerindu-aidalie.blogspot.com/2011/01/lukisan-teknik-titik-pointillism.html