TITIAN DENAI

24 Ogos 2011

rentetan sejarah logo hari kemerdekaan

 
1976 – KETAHANAN RAKYAT

Lima lembaga manusia melambangkan lapisan rakyat yang berganding bahu membentuk satu tujuan dan cita-cita kemakmuran dan keselamatan negara. Tema "KETAHANAN RAKYAT" ditulis melengkung di atas menjadikan rekabentuk ini bulat dan bertangkup melambangkan keteguhan negara. Rekabentuk ini juga berupa rebana ubi menggambarkan satu masyarakat yang berkebudayaan Bulatan tadi membendung perkataan '31 Ogos' sebagai Hari Kebangsaan. Lima lembaga manusia juga mencerminkan lima prinsip Rukunnegara yang menjadi landasan kepada matlamat negara. Warna yang digunakan ialah warna-warna daripada bendera Malaysia


 
1977-BERSATU MAJU

Logo ini bertema "20 TAHUN BERSATU MAJU". Ia mempunyai lima bahagian yang naik meruncing menuju ke atas sebagai tanda kemajuan dan semua bahagian ini semakin rapat untuk membayangkan hasrat rakyat untuk bersatu. Lima bahagian atau tiang yang ada melambangkan lima prinsip Rukunnegara dengan yang di tengah-tengah sekali (yang paling tinggi) menandakan prinsip pertama, yakni kepercayaan kepada Tuhan. Tiang-tiang lain yang rupa dan bentuk asalnya diambil daripada bentuk hadapan perahu melambangkan empat prinsip rukunegara yang lain, sementara bentuk hadapan perahu dipilih sebagai menandakan teras kebudayaan Nasional yang berasaskan kepada apa yang benar-benar timbul dari bumi negara ini. Bulatan yang mengandungi nombor 20 atau rupa bentuk unsur-unsur kebudayaan itu menandakan 20 tahum selepas merdeka. 
 
1978-KEBUDAYAAN SENDI PERPADUAN

Logo tahun 1978 memberikan penerangan babawa Malaysia adalah sebuah negara yang mengandungi rakyat berbilang keturunan dan mempusakai berbagai-bagai kesenian dan kebudayaan dan di samping itu berjaya menaungi serta memupuk rakyatnya hidup bersatupadu
 
1979- BERSATU BERDISIPLIN

Selaras dengan tema tahun 1979, logo ini melambangkan rakyat Malaysia daripada berbagai-bagai keturunan dan daripada segenap lapisan masyarakat bersatupadu dan berdisiplin mematuhi amalan-amalan prinsip Rukunnegara dan dengan itu dapat menuju ke arah kemakmuran dan keamanan. 

1980-BERDISIPLIN BERBAKTI

Logo ini melambangkan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan bangsa yang berdisiplin berpandukan Rukunnegara (bentuk lima segi) dalam mencapai kesejahteraan hidup hari-hari. Bulatan-bulatan yang melindungi di tengah-tengah itu adalah kumpulan-kumpulan berbilang bangsa yang sentiasa bersedia berbakti kepada Raja dan Negara.Bulatan Besar yang melingkumi segala bentuk yang ada itu melambangkan 'bulat manusia kerana muafakat'. Bentuk bulat itu juga menegaskan lagi keutuhan hidup berdisiplin. 

 
1981 - BERDISPLIN BERHARMONI

Bentuk yang merupakan tiga orang di sebelah bawah logo melambangkan masyarakat berbilang bangsa yang sentiasa berganding bahu berusaha menampung dan menuju mercu kejayaan dan kemajuan melalui lima tiang yang mencerminkan garis panduan hidup berdasarkan prinsip Rukunnegara. Bulatan-bulatan yang di sebelah atas melambangkan kejayaan dan kemajuan yang berunsurkan politik, ekonomi dan kemasyarakatan.
 
1982- BERDISIPLIN GIAT MAJU

Logo tahun 1982 berbentuk bunga raya yang merupakan Bunga Kebangsaan. Daripada segi ciri-ciri bunga tersebut ia dapat melambangkan ketahanan yang tetap segar seperti yang telah dibuktikan oleh bunga itu sendiri. Warna-warna yang digunakan adalah warna yang terdapat pada bendera Malaysia. Seperti digambarkan warna biru pada angka 25 melambangkan cinta rakyat terhadap negara dan percantuman 25 itu dapatlah melambangkan perpaduan, liku hidup dan pembangunan yang telah dialami oleh negara dalam bidang pembangunan dan kestabilan negara bagi mencapai 25 tahun merdeka dan terus berkembang untuk 25 tahun dan seterusnya pada masa hadapan. 

1983- BERSAMA KE ARAH KEMAJUAN

Logo ini melambangkan perpaduan dan kerjasama yang erat antara beberapa golongan rakyat dalam berbagai-bagai bidang. Ini digambarkan melalui tiga simbol empat segi yang terjalin antara satu dengan lain yang di dalamnya mengandungi bulatan-bulatan yang menggambarkan kelompok-kelompok golongan yang terdiri daripada usahawan-usahawan persendirian, golongan swasta dan golongan pentadbiran awam. Ketiga-tiga golongan ini bergiat untuk membangunkan negara ke arah kemajuan dan didukungi oleh satu petak tiga segi yang melambangkan sokongan pihak Kerajaan terhadap usaha bekerjasama bagi mencapai aspirasi negara

 
1984- AMANAH ASAS KEJAYAAN

Bulatan putih di tengah-tengah logo mencerminkan kesucian, kesempurnaan dan keutuhan yang menjadi intisari kepada sifat amanah. Bulatan biru yang dikelilingi oleh rajah kuning biru berbentuk lima segi melambangkan hidup muafakat di antara rakyat berbilang kaum di dalam negara yang berdaulat berserta kerjasama yang erat antara sektor awam dengan swasta yang akan membawa kejayaan di berbagai-bagai aspek
 
1985- NASIONALISME TERAS PERPADUAN

Logo Hari Kebangsaan bagi tahun 1985 melambangkan tema "NASIONALISIME TERAS PERPADUAN". Lima bulatan biru yang dikandungi oleh bentuk-bentuk merah melambangkan rakyat Malaysia berbilang kaum daripada berbagai-bagai rumpun bangsa yang bersatupadu manakala bentuk-bentuk merah pula melambangkan semangat nasionalisme yang menjadi teras perpaduan tersebut. 
 
1986-BANGSA TEGAS NEGARA TEGUH

Bentuk-bentuk berwarna biru mencerminkan kesungguhan dan ketegasan negara ini dalam usaha memperjuangkan kemerdekaan dan kedaulatan negara di kalangan masyarakat antarabangsa. Sikap negara yang teguh dan positif ini hanya dapat diwujudkan dengan adanya sokongan lapisan rakyat Malaysia seperti yang dilambangkan dengan bentuk tiga segi berwarna merah itu


 
1987-SETIA BERSATU BERUSAHA MAJU

Logo berbentuk empat segi yang terletak di atas empat bulatan sementara bulatan yang kelima pula terletak di tengah-tengah. Bentuk empat segi melambangkan penekanan dalam empat bidang ekonomi iaitu perumahan, pertanian, pelancongan dan perindustrian. Kegiatan dalam empat bidang ekonomi ini memerlukan dukungan oleh lima bidang kegiatan yang dilambangkan oleh lima bulatan. Lima bidang kegiatan yang dimaksudkan ialah penyelidikan, pendidikan, perkhidmatan dan prasarana kewangan dan keselamatan. 
 
1988- BERSATU

Tema "BERSATU" pada bahagian ini yang berupakan tiga kepala dan satu tubuh adalah digambarkan secara grafik, di mana rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum haruslah bersatu bagi mengekalkan perpaduan dan keamanan di kalangan rakyat yang berjiwa Malaysia. Lima jalur merah dan putih ini juga membawa erti rangkaian lima prinsip Rukunnegara yang sentiasa diamalkan oleh penduduk negara ini. Tiga cabang mengistilahkan konsep Bersih, Cekap dan Amanah yang menjadi asas pentadbiran kerajaan dan amalan kehidupan seharian rakyat Malaysia
 
1989-BERSATU

Keunikan tikar mengkuang yang memaparkan hasil seni anyaman tradisional sejak zaman-berzaman, menjadi aspek penting dalam konsep logo ini. Petak-petak berwarna-warni ini ibarat 'anyaman' yang kukuh lagi erat, lambang perpaduan masyarakat berbilang bangsa di Malaysia. Petak-petak berbentuk empat segi merah dan biru menandakan rakyat di negara ini hidup aman damai berteraskan perpaduan nasional. Bentuk-bentuk ini dipisahkan oleh jalur-jalur putih yang mempunyai erti tersendiri, iaitu jalur yang membawa maksud kebebasan dalam mengamalkan ajaran agama, menentukan adat resam dan kebudayaan serta mengamalkan ajaran agama, menentukan adat resam dan kebudayaan serta kebebasan menyuarakan cita-cita masyarakat.
 
1990-BERJAYA

Konsep tema "BERJAYA" digambarkan melalui tiga kepala dan tiga tangan yang dilingkungi warna biru melambangkan rakyat Malaysia berbilang bangsa yang hidup bersatu demi mengekalkan perpaduan serta keamanan untuk memastikan kejayaan Malaysia seluruhnya. Jalur merah dan putih yang berbentuk tangan menjulang ke atas membawa erti kejayaan dalam pelbagai bidang kehidupan yang menjadi kehendak dan cita-cita negara yang tiada hadnya. Warna ini juga melambangkan konsep Bersih, Cekap dan Amanah yang sentiasa menjadi asas pentadbiran negara. 
 
1991- WAWASAN 2020

Anak panah yang terdiri daripada jalur-jalur merah, biru, putih dan kuning melambangkan azam dan tekad rakyat Malaysia yang bersatu padu menyokong usaha ke arah menjadikan negara ini sebuah negara maju. Bentuk segi tiga berwarna merah mencerminkan sokongan rakyat untuk melipatgandakan daya usaha pengeluaran agar tercapai hasrat tersebut. Bulatan biru, putih dan merah melambangkan perancangan dan pengawalan yang terakhir iaitu yang berteraskan nilai-nilai yang luhur dan murni dalam usaha mencapai wawasan 2020 (dua puluh dua puluh) itu. 
 
1992- WAWASAN ASAS KEMAJUAN

Reka bentuk Logo adalah berasaskan huruf 'W' dan anak panah. Huruf 'W' merujuk kepada perkataan Wawasan dan tiga anak panah dalam huruf 'W' yang menuju ke atas melambangkan arah dan haluan Wawasan iaitu kemajuan ekonomi, sosial dan kerohanian masyarakat Malaysia dan negara di masa depan. Secara keseluruhannya, rekabentuk logo ini membawa maksud masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum hidup bersatupadu dan harmoni dalam sebuah negara yang stabil, aman dan makmur sentiasa berusaha dan bekerja keras untuk menjadikan Malaysia sebuah negara 'maju' di masa depan. 

 
1983- BERSATU MENUJU  WAWASAN

Menggambarkan bersatupadu, bekerjasama, bersemangat setiakawan, berharmoni serta bercita-cita tinggi bagi mencapai wawasan. Menggambarkan cita-cita setiap masyarakat Malaysia yang inginkan kemajuan, keharmonian, kesejahteraan dan keamanan yang berkekalan menerusi wawasan yang dicita-citakan. 
1994- NILAI MURNI JAYAKAN WAWASAN

Nilai murni, bukan hanya terletak pada tingkah laku dan sikap fisikal sahaja tetapi terletak pada hati nurani seseorang itu. Hati membentuk seseorang itu berakhlak baik dan mulia. Segala perbuatan terletak pada niat di hati. Warna merah dan biru pada bentuk 'hati besar' melambangkan berbagai kaum dan lapisan masyarakat MalaysiaSecara keseluruhannya rekabentuk logo dan warna-warnanya melambangkan nilai murni bukan hanya terletak pada tingkahlaku dan sikap fisikal sahaja tetapi terletak pada hati nurani seseorang itu. Hati membentuk seseorang itu berakhlak baik dan mulia. Segala perbuatan terletak pada niat di hati. Dengan memiliki nilai-nilai murni inilah masyarakat Malaysia menjayakan dan menuju wawasan 2020


 
1995- JATI DIRI PENGGERAK WAWASAN

Secara keseluruhannya rekabentuk dan warna logo ini membawa maksud rakyat Malaysia berbilang kaum, agama dan kebudayaan hidup dalam negara yang berdaulat dan harmoni serta bersatupadu membentuk jatidiri kebanggaan negara demi menggerakkan Wawasan 2020. 
 
1996- BUDAYA PENENTU KECAPAIAN

Reka bentuk logo mencerminkan realisasi kecapaian negara yang progresif dan inovatif dengan keharmonian pelbagai kaum yang sepakat membina satu budaya yang dinamis. Reka bentuk logo juga mengutarakan semangat waja masyarakat dalam mengejar aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara yang unggul dari setiap aspek iaitu ekonomi, sosial dan politik.
 
1997- AKHLAK MULIA MASYARAKAT JAYA 

Tangan berdoa dan tiga lapisan hati menggambarkan harapan negara (tangan berdoa) semoga masyarakat berbilang kaum di Malaysia hidup harmoni (tiga lapisan hati), mempunyai akhlak (rohaniah) mulia mengamalkan kesopanan dan kesusilaan diri demi kejayaan negara.

 
1998- NEGARA KITA TANGGUNGJAWAB KITA

Menggambarkan aspirasi serta tanggungjawab rakyat membina negara ke arah kecemerlangan dalam semua aspek kehidupan sosial, ekonomi dan politik. Tiga bulatan merangkumi warna asas Bendera Malaysia berserta bintang 14 bucu melambangkan 13 Negeri dan Wilayah di Malaysia. Bulatan biru berbentuk lembaga manusia menjunjung wawasan serta kedaulatan negara. Warna putih melambangkan harmoni rakyat manakala merah mencerminkan usaha padu kerajaan membentuk wawasan negara sementara kuning melambangkan kedaulatan Negara.

 
1999 – BERSATU KE ALAF BARU

Menggambarkan reka bentuk seorang insan yang membawa maksud penyatuan minda rakyat Malaysia sejagat mendukung hasrat dan cita-cita murni negara dalam menuju ke alaf baru yang lebih dinamik dan mencabar. Bentuk kon (V) melambangkan ke arah menuju visi negara 2020. Warna merah melambangkan sifat berani dan yakin diri. Warna biru melambangkan rakyat rakyat bersatu padu membentuk wawasan negara, Warna putih melambangkan kesucian jiwa dan nilai murni rakyat. Warna kuning melambangkan tekad dan kesatuan hati rakyat Malaysia menjunjung kedaulatan negara
 
2000 -2006 - KERANAMU MALAYSIA

Logo Perayaan Bulan Kemerdekaan Ke-43 hingga ke-49 dari tahun 2000 hingga 2006 ini menggambarkan rasa kesyukuran dan terhutang budi rakyat Malaysia yang berbilang kaum, budaya dan fahaman politik di atas nikmat keamanan, kemakmuran serta pencapaian cemerlang negara. Bulatan berwarna biru dan bulan bintang berwarna kuning menggambarkan sebuah negara yang terdiri dari 14 buah negeri di mana Islam adalah agama rasmi tetapi agama-agama lain bebas dipraktikkan dan rakyat semuanya hidup di dalam keadaan aman, makmur dan bersatu padu. Seterusnya mereka bertekad untuk meneruskan kecemerlangan ini di masa akan datang yang digambarakan melalui pegangan tangan yang meruncing dan bentuk "V" yang bermaksud vision atau wawasan
 
2007 – MALAYSIAKU GEMILANG

Rekabentuk logo ini diilhamkan dari jalur gemilang sedang berkibar yang merupakan bendera kebanggaan rakyat Malaysia. Kibaran Jalur Gemilang melambangkan semangat kecintaan rakyat pada negara. Jalur merah dan putih digayakan dalam bentuk angka lima manakala bentuk bulan dan bintang dijadikan angka kosong yang mana ia menjadikan angka 50 yang menjadi tonggak utama logo ini sempena ulang tahun kemerdekaan ke 50.Bahagian dihujung angka 5 terus disambungkan pada stigma bunga raya yang merupakan bunga kebangsaan Malaysia. Pada stigma itu diletakkan lima titik dihujungnya yang bermaksud lima rukun negara yang menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.Bentuk dasar logo adalah bulat yang 'italic' / slanted ke kanan. Bentuk ini adalah dinamik yang memberi maksud kemajuan pesat yang dialami oleh negara Malaysia sejak 50 tahun mencapai kemerdekaan Bentuk bulat juga bermaksud rakyat Malaysia berbilang kaum yang bersatu dalam mencapai nikmat dan kemajuan sepanjang 50 tahun usia kemerdekaan.Warna merah dan putih melambangkan keseluruhan rakyat Malaysia. Warna biru bermaksud perpaduan yang dijalankan oleh rakyat. Manakala kuning adalah melambangkan ketua negara, Yang Di Pertuan Agong ia juga bermaksud kegemilangan yang dikecapi semenjak 50 tahun usia kemerdekaan Malaysia.Logo ini yang diilhamkan dari jalur gemilang adalah kerana ia adalah satu 'entiti' yang dibanggakan oleh setiap rakyat Malaysia. Setiap rakyat Malaysia yang mengibarkan Jalur Gemilang sebenarnya adalah untuk menunjukkan rasa bangga serta rasa kecintaan terhadap negara.

 
2008 – PERPADUAN TERAS KEJAYAAN

Rekabentuk logo ini diilhamkan dari ikatan 3 figura yang saling berganding bahu menunjukkan perpaduan erat melambangkan ”Perpaduan Teras Kejayaan”. 3 ikatan figura manusia saling berganding bahu menunjukkan rakyat yang bekerjasama di antara satu sama lain dalam menjaga keamanan dan memajukan negara.
3 rupa bentuk manusia digayakan bergandingan bahu adalah mewakili kaum-kaum di Malaysia yang bersefahaman bagi menunjukkan mereka telah mencapai kejayaan dalam perpaduan. Warna merah simbol keberanian rakyat.
Putih simbol kesetiaan keseluruhan rakyat Malaysia. Warna biru melambangkan perpaduan yang dijalinkan oleh kaum-kaum di Malaysia. Manakala warna kuning pula melambangkan Sistem Beraja dan Yang di-Petuan Agong. Ianya juga membawa maksud warna kegemilangan/keemasan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia.

 

2009 – 1 MALAYSIA


Logo berbentuk nombor satu dan berlatarbelakangkan Jalur Gemilang serta tulisan Malaysia ini dinamakan 1 Malaysia. Logo 1 Malaysia melambangkan visi negara iaitu untuk mewujudkan satu masyarakat yang berpadu dan mempunyai semangat cintakan negara berpandukan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara.

Ia juga mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu visi untuk membina satu Negara Bangsa

 
2010 – 1 MALAYSIA MENJANA TRANSFORMASI

Melambangkan visi Negara iaitu untuk mewujudkan satu masyarakat yang berpadu dan mempunyai semangat cintakan Negara berpandukan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara.
Mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu visi untuk membina satu Negara Bangsa.



2011 – 1 MALAYSIA MENJANA TRANSFORMASI

Melambangkan visi Negara iaitu untuk mewujudkan satu masyarakat yang berpadu dan mempunyai semangat cintakan Negara berpandukan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara.
Mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu visi untuk membina satu Negara Bangsa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger... http://aidaliepurnamamerindu-aidalie.blogspot.com/2011/01/lukisan-teknik-titik-pointillism.html