Pendahuluan
Seni
Seni adalah suatu ciptaan ataupun ekspresi akan sesuatu yang dianggap
indah. Seni memenuhi keperluan-keperluan naluri estetik dan fizikal
manusia yang dipengaruhi oleh faktor-faktor keagamaan, kebudayaan,
ruang, masa dan keadaan yang tertentu. Hal ini telah melahirkan
kepelbagaian pengertian seni seperti tradisi, moden dan pascamoden,
mengikut zaman dan masyarakat yang tertentu. Penghayatan dan penghargaan
terhadap seni lazimnya mengambil kira aspek-aspek formal, makna dan
konteks penghasilan sesuatu karya. Seni juga mempunyai pelbagai peranan
yang bersifat psikologi dan sosiologi.
Secara umum, seni berkaitan dengan hal-hal mengenai keindahan atau
estetika yang merangkumi aspek-aspek jasmani dan kerohanian individu
mahupun masyarakat. Seni ditakrifkan sebagai suatu ciptaan ataupun
ekspresi akan sesuatu yang dianggap indah, terutamanya dalam bentuk
visual (Hornby, 1974: 43). Seni juga disifatkan sebagai suatu kegiatan
atau proses penciptaan yang memerlukan kemahiran serta pengetahuan untuk
melahirkan idea dalam bentuk yang nyata (Martin, 1986: 12). Hauser
berpendapat, seni adalah komunikasi (1959). Herbert Read pula
menjelaskan bahawa seni adalah penciptaan bentuk-bentuk yang
menyenangkan. Seni adalah penjelmaan rasa estetika (1959: 16).
Seni Visual
Seni visual merangkumi aspek pengkaryaan yang dihubungkan dengan
disiplin seni halus, dan perekaan, yang meliputi bidang-bidang
komunikasi visual, reka bentuk teknologi, dan reka bentuk persekitaran.
Ringkasnya, ia merangkumi seni lukis dan seni reka. Karya seni visual
ialah suatu ekspresi visual akan sesuatu idea ataupun pengalaman yang
dibentuk menerusi penggunaan sesuatu bahan ataupun medium dengan
menggunakan teknik-teknik yang tertentu. Pengkarya dan pereka lazimnya
memilih bahan yang sesuai dengan idea ataupun perasaan yang ingin
disampaikannya. Khalayak menikmati karya seni visual apabila bahan yang
digunakan pengkarya dengan cara-cara tertentu membolehkan sesuatu objek
atau persembahan itu difahami ataupun digunakan mereka.
Karya seni visual yang terbentuk menerusi kombinasi bahan-bahan berbeza
disebut bahan campuran ataupun mixed media. Selain daripada fotografi
dan filem yang dirintis pada abad kesembilan belas, menjelang
pertengahan abad kedua puluh, teknologi moden telah menghasilkan media
seni visual yang baru seperti video dan komputer. Sebagai suatu bentuk
komunikasi, seni visual menyampaikan pelbagai maksud yang bertolak
daripada pemikiran, perasaan, dan pengamatan (Preble, Preble dan Frank,
1999).
Perkembangan budaya dan masyarakat telah banyak mempengaruhi bentuk seni
visual, justeru melahirkan beberapa istilah seni yang penting. Sebagai
contoh, istilah-istilah seni halus dan seni gunaan telah muncul pada
abad ke-18. Seni halus merujuk kepada penghasilan seni yang berasaskan
konsep keindahan ataupun estetika, dan merangkumi bentuk-bentuk seni
seperti catan, lukisan, arca, cetakan, seni bina, puisi dan muzik
(Osborne, 1979: 407), sementara seni gunaan pula merujuk kepada seni
berasaskan fungsi seperti produk-produk seni grafik, tekstil, seramik,
seni industri, fesyen, fotografi, seni logam halus, seni reka hiasan
dalaman, seni landskap, multimedia dan animasi.
Di samping seni halus dan seni gunaan, terdapat juga istilah-istilah
seni tradisi, seni keagamaan, seni moden dan seni pascamoden. Seni
tradisi lazimnya disifatkan sebagai bentuk-bentuk seni yang diwarisi
oleh sesebuah bangsa dengan penampilan ciri-ciri tertentu yang boleh
mencerminkan identiti masyarakat tersebut. Sebagai contoh, identiti
dalam kesenian tradisi Melayu seperti seni ukir, seni tekstil dan
anyaman dapat dihayati menerusi keseragaman motif-motif dan maknanya.
Seni keagamaan pula mendukung prinsip-prinsip agama tertentu dan ia
berbeza di antara satu dengan yang lain lantaran setiap agama memiliki
konsep, tatacara, kaedah dan prinsip yang tersendiri.
Kepelbagaian ruang lingkup seni, sama ada dari segi bentuk, makna,
teknik, bahan, dan hubungannya dengan konteks penghasilan, termasuklah
pengkarya dan persekitaran, serta penghayatan khalayak terhadapnya
menjadi perkara-perkara asas kepada bidang Sejarah Seni Visual. Justeru
itu, Sejarah Seni Visual adalah suatu bidang ilmu yang mengkaji
perkembangan tamadun manusia menerusi penelitian terhadap kerja-kerja
seni.
a) Konsep dan Kaedah Sejarah Seni Visual
(i) Maksud Sejarah Seni Visual
Keluasan pengertian dan skop seni visual memungkinkan bidang Sejarah
Seni Visual juga muncul sebagai suatu disiplin ilmu mempunyai skop,
peranan, dan cabang-cabang yang luas. Sejarah Seni Visual tidak hanya
terbatas kepada persoalan atau pengkajian tentang bentuk-bentuk seni,
sebenarnya sejarah seni melibatkan apa-apa jua yang berkaitan dengan
kerja seni itu sendiri, termasuklah tentang pengkarya: pelukis dan
pereka, bentuk, stail atau gaya, proses, teknik, bahan, makna, pemilik,
penaung, persepsi, tanggapan, peranan, dan kemungkinan-kemungkinan yang
terhasil akibat daripada kewujudan karya seni itu.
Budaya visual yang pelbagai bentuk dan rupa terhasil berlandaskan
pelbagai pengalaman yang merentasi ruang dan jarak waktu yang tertentu.
Dalam konteks ini, Sejarah Seni Visual pada dasarnya menerokai akan
apakah faktor-faktor pencetus terhasilnya karya, akibat atau kesan,
peranan, fungsi, nilai, makna, serta persepsi masyarakat terhadap
sesuatu karya. Oleh kerana penghasilan karya seni itu turut berhubung
dengan bidang-bidang ilmu dan kebudayaan yang luas, justeru itu bidang
Sejarah Seni Visual juga dilihat sebagai suatu bidang kajian yang
berkait dengan bidang-bidang ilmu dan profesion lain. Sejarah Seni
Visual juga dilihat sebagai suatu disiplin kemanusiaan yang menerangkan
peranan seni dalam kehidupan manusia (Zakaria Ali, 1989; Muliyadi
Mahamood, 1993; Pointon, 1994; Tansey dan Kleiner, 1996).
Tujuan Sejarah Seni Visual
Penghayatan terhadap sejarah memungkinkan khalayak mengetahui peristiwa
masa lalu sebagai asas untuk memahami situasi masa kini. Jika sejarawan
memahami masa lalu dengan mengkaji fakta-fakta peristiwa, sejarawan seni
visual pula berusaha untuk memahami masa lalu menerusi karya-karya
seni. Dalam konteks ini, karya seni visual menjadi dokumen-dokumen
sejarah yang merakamkan akan masa atau era yang menghasilkannya,
sementara apresiasi atau penghayatan seni yang menjadi dasar bidang
Sejarah Seni Visual bertindak sebagai asas untuk memahaminya. Selain
daripada memperjelaskan akan bentuk, makna, dan fungsi sesuatu karya,
Sejarah Seni Visual juga melihat akan perubahan-perubahan persepsi,
fungsi, mahupun makna yang berlaku ke atas sesuatu karya itu, contohnya
dengan mengkaji faktor-faktor yang mewujudkan sesuatu perubahan
(Pointon, 1994; Tansey dan Kleiner, 1996).
(ii) Kaedah Sejarah Seni Visual
Dalam bidang Sejarah Seni Visual, karya seni merupakan dokumen sejarah
atau sumber primer yang penting, sementara apresiasi atau penghayatan
seni menjadi asasnya. Kaedah mendekati atau menganalisis karya seni
boleh dilakukan dengan mengajukan beberapa soalan asas tentang karya
yang sedang dikaji ataupun dihayati.
Misalnya, ia boleh dimulai dengan bertanya apakah objek itu?; untuk
siapa ia dibuat?; ia dibuat daripada apa?; bagaimana keadaannya
sekarang?; adakah ia satu-satunya objek sedemikian?; apakah maksudnya?;
apakah yang cuba disampaikan?; bagaimanakah ia dipersembahkan?; dan
siapakah yang menghayatinya?. Atau, ia boleh dimulakan dengan soalan
siapakah pembuatnya?; di mana ia sekarang?; bagaimana ia berada di
tempatnya kini?; bila ia sampai di tempatnya kini?; siapa yang
mendapatkannya?; mengapa?; berapakah harganya?; siapa pemilik asalnya?;
siapa yang menghayatinya? (Pointon, 1994: 61). Persoalan-persoalan asas
ini menjadi dasar dalam mengenali serta memahami sesebuah karya seni itu
dengan lebih dekat dan bermakna. Ini yang ditegaskan oleh Hauser dalam
tulisannya, bahawa dalam usaha memahami karya seni, kita tidak terus
menerangkannya, tetapi cuba menyesuaikan diri kita dengannya.
Berbicara tentang karya seni, Hauser menulis:
”We do not go straight towards them, but circle around them. Each
generation sees them from a different point of view and with a fresh
eye; nor is it to be assumed that a later point of view is more apt than
an earlier one. Each aspect comes into sight in its own time, which
cannot be anticipated or prolonged; and yet its significance is not
lost, for the meaning that a work assumes for a later generation is the
result of the whole range of previous interpretations.” (Hauser, 1959 in
Fernie, 2001: 205).
Secara umumnya, pengkajian terhadap karya seni perlu mengambilkira
aspek-aspek bentuk (aspek-aspek formal, termasuklah pengolahan karya dan
gaya penampilan) dan makna (ikonografi: tersurat dan tersirat).
Penelitian terhadap bentuk dan makna ini pula dihubungkan dengan konteks
penghasilan sesuatu karya, misalnya aspek-aspek period atau masa:
sejarah dan kebudayaan.
Dalam mengkaji bidang sejarah seni umumnya perlu mengetahui tentang
bagaimana sesebuah karya itu diolah dan dihasilkan. Dalam proses
pengolahan inilah 3 kaedah yang digunakan iaitu:
Idealisasi – merujuk kepada unsur kepercayaan / keagamaan. terdapat
banyak pada imej-imej keugamaan. Pengolahan dibuat menggunakan perkiraan
dan formula) untuk maksud menyampaikan rasa keunggulan, penataan secara
hieratik, melibatkan exaggeration sama ada dari aspek idea mahu pun
form
Representasi-merujuk kepada perlambangan. menyatakan tentang keperihalan
sifat dan ciri sesuatu kualiti hal yang mujarad seperti berat atau
isipadu sesuatu objek tanpa sebenarkan menekankan sifat luaran.Oleh itu
ia melibatkan satu perlambangan aspek mujarad bagi maksud
menginterpretasi tentang perkara yang bukan objek. Dalam banyak keadaan,
sasaran pengambarannya lebih mengutamakan aspek yang elemental dan
primeval
Stailisasi - merujuk kepada bahan dan teknik yang digunakan dalam
sesuatu karya atau perekaan. pertimbangan imej dibuat dengan mengambil
kira aspek ciri bahan yang digunakan dan rupa yang akan diserasikan
dengan keseluruhan reka bentuk. Pendekatannya lebih berkait dengan
masalah rekaan (design issues). Contohnya ialah, gambar dalam motif.
a. Gaya penampilan
Teknik penggambaran menyentuh soal gaya dan bagaimana imej
dipersembahkan kepada umum. Pada amnya, terdapat tiga kaedah utama yang
boleh mengarah kepada penekanan gaya penampilan iaitu:
· Realistik-karya yang menggambarkan sepertimana objek/situasi asal
melibatkan imitasi, peniruan daripada bentuk asal.Contoh Gadis Melayu,
Potret Diri (Mohd.Hoessien Enas),
· Separa abstrak-Mengubah bentuk asal kepada unsur yang sukar difahami
tetapi masih boleh dikenali unsur-unsur asal.Contoh Girl Before a miror
(Pablo picasso), Hang Tuah Hang Jebat (Ismail Mustam)
· Abstrak- karya yang melambangkan keseluruhan imej yang sukar difahami ,
dikenali sebagai mujarad,niskala,kabur, tetapi pengkarya lebih
mementingkan simbol,bentuk dan warna,Contoh Pago-pago (A.Latiff
Mohidin), Gunung Ledang (Syed Ahmad Jamal)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan